Monday, February 11, 2013

Diriku & Bahasa Arab

          Amirul Mukminin Saidina Umar bin al-Khattab r.a berkata : "Pelajarilah bahasa arab kerana bahasa arab adalah bahagian penting daripada agamamu". Sungguh indah huraian Ibn Kathir ketika beliau mentafsir ayat : "Dan kami telah menurunkan al-Quran berbahasa arab agar kalian memahaminya". [Surah Yusuf, ayat 2]

         Beliau menyebut : "Oleh yang demikian itu, ini disebabkan bahasa arab adalah bahasa yang paling fasih, jelas, luas dan makna lebih mengena jiwa manusia. oleh kerana itu, kitab yang paling mulia(al-Quran), diturunkan kepada rasul yang paling mulia( Rasulullah saw), dengan bahasa yang paling mulia, melalui perantaraan malaikat yang paling mulia (Jibril), di bumi yang paling mulia ( Mekah) serta permulaan turunnya pun pada bulan yang paling mulia( Ramadan) sehinggalah al-Quran menjadi sempurna segala isi kandungannya". Kita mengaku kita bermazhab imam yang mulia al-Syafi'e r.a.

     Apa komentar beliau mengenai mempelajari ilmu Bahasa Arab. Beliau berkata : "Allah telah pilih bahasa arab sebagai untuk kitabNya dan menjadikan bahasa penutup para Nabi. oleh itu kami katakan sebaiknya setiap orang yang mampu belajar bahasa arab untuk mempelajarinya dan mencintainya tanpa harus melarang orang berbicara dengan bahasa lain". Imam Ahmad berkata : "Tanda keimanan orang 'ajam ( bukan arab) adalah kecintaan mereka terhadap bahasa arab" [ iqtida' Sirat al-Mustaqil, Ibn Taymiyyah]

Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah yang telah memilih hambaNya yang sangat lemah ini tahu dan faham bahasa arab walaupun hanya sedikit. Allah telah permudahkan diri ini ke arah mempelajari bahasa kalamNya.
         Tidaklah mahir sangat dengan bahasa ini tapi sangat penting bagi saya. Saya tidak dapat bayangkan diri saya yang muslim, berpegang dengan al-Quran yang berbahasa arab dan merujuk hadis Nabi saw dalam   bahasa arab, bersolat pun dengan menggunakan bahasa arab tetapi tidak mampu berbahasa arab. Sungguh tidak dapat dibayangkan. saya sangat bersyukur diberi nikmat ini. Bahasa ini dipelajari di bumi kelahiran bukan di Timur tengah atau bumi anbiya'. Tiada alasan untuk gagal mengertinya. nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Bukan pandai mana pun, bertutur tidak fasih mana pun , sekadar tahu serba sedikit, merangkak-rangkak dalam memahami kitab arab dan bertemankan kamus. Masih belajar, akan terus belajar dan menuntut ilmu agama yang sumber asalnya adalah bahasa arab. Ilmu yang bermanfaat ini akan terus dikongsikan bersama untuk anak-anak didik sama ada di sekolah sendiri atau dijemput untuk mengajar di sekolah lain.
     Semoga usaha yang sedikit ini akan memperoleh redha Allah di akhirat sana. Ya Rabb. Ampunkanlah dosa semua guruku dan rahmatilah mereka setiap masa serta kurniakanlah sebaik-baik ganjaran kepada mereka.




No comments:

Post a Comment